Tuesday, April 27, 2010

Hikayat Sultan Qulub as-Sakiti

Tanah kering kontang, tandus tiada tumbuhan, panas membahang. Negara Monami gersang segersang gersangnya. Hanya sesekali disirami hujan, namun tanah yang kering merekah tidak dapat menakung air yang mencurah, hilang diresap tanah kontang dan panas mentari yang membahang.
Adapun negara Monami memang asalnya negara yang tidak subur dan kacau bilau. Namun ada satu ketika berlaku satu perkara yang sangat mendamaikan. Lima tahun yang penuh nikmat. Negara Monami menjadi subur dan rakyatnya aman damai. Namun selepas itu berlaku pula kejadian yang menyebabkan negara Monami kembali tandus dan gersang.
Bermula cerita, negara Monami diperintah oleh seorang raja, Sultan Qulub as-Sakiti namanya. Namun begitu Sultan Qulub as-Sakiti tidak dapat memerintah dengan baik disebabkan penyakitnya yang amat berat. Terdapat berkeping-keping kurap di betisnya waima di kepalanya juga. Perutnya membusung dipenuhi nanah dan najis yang tidak lawas. Tangannya cengkol, kukunya cagu. Dadanya panau bertompok-tompok putih, lidahnya pecah berjela liurnya. Hidungnya berhingus meleleh sampai ke dagu. Telinganya berkarat dan matanya rabun bertempek tahi mata. Demikianlah dahsyatnya penyakit Sultan Qulub as-Sakiti. Tidak pernahlah seorang jua pun manusia berpenyakit sepertinya.
Maka, disebabkan penyakitnya itu, Sultan Qulub as-Sakiti tidak dapat memerintah dengan baik. Pentadbiran negara di abaikan. Hal ehwal rakyat jelata tidak dipedulikan. Rakyat pula tidak lagi peduli akan hal ehwal dan keadaan negara, siang malam bersuka ria. Sawah bendang yang hasilnya memang sudah tidak seberapa tidak diusahakan lagi. Sungai yang mengalir lesu dibiarkan mendap, berkelodak dengan tanah dan pasir. Kebun-kebun buah yang sudang sememangnya tidak berapa manis, dibiarkan semak tidak berbaja. Kambing dan lembu tidak berkandang dan dibiar meragut sayur yang tidak berpagar. Harimau dan serigala keluar dari hutan, bebas berkeliaran membaham ternakan yang sedia kurus. Pendek kata, panjang pun kata, negara Monami terbiar tiada berperintah, huru hara, kucar kacir, lalai,ghaflah, hanyut dan gelap gulita. Zulumat menghiasi malam

bersambung..........